DASAR-DASAR NEGARA MALAYSIA
Buku Dasar-Dasar Negara Malaysia ini merupakan pengemaskinian kepada Buku Dasar-Dasar Pembangunan Malaysia yang diterbitkan oleh INTAN pada tahun 1994. Penerbitan buku ini adalah bertepatan dengan hasrat INTAN agar satu bahan ilmiah diterbitkan sebagai rujukan penjawat awam kini. Secara amnya, pada 1 Mei 2019, Kerajaan telah memperkenalkan konsep hala tuju baharu ekonomi negara yang dikenali sebagai “Kemakmuran Bersama” di mana Kerajaan berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, terangkum dan inklusif. Berpandukan kepada hala tuju baharu inilah maka dasar-dasar kerajaan yang digubal harus menyokong aspirasi “Kemakmuran Bersama” demi memastikan ekonomi yang lebih berstruktur, progresif dan bernilai tinggi.