Kepimpinan Lestari Mengupaya Diri, Memimpin Insan, Memperkasa Organisasi
Buku yang berada di hadapan anda ini, bukanlah merupakan buku yang hanya membincangkan tentang teori-teori mengenai kepimpinan sahaja. Buku ini sebenarnya digarap daripada adunan cetusan idea, pengalaman, pengamatan, perbincangan dan pembacaan penulis mengenai kepimpinan. Sepanjang tempuh lebih tiga puluh tahun bertugas dalam perkhidmatan awam, penulis telah melalui banyak situasi yang membolehkannya melihat perspektif kepimpinan daripada dimensi yang berbeza. Keunikan buku ini juga adalah penulisan yang dibuat secara mudah dan santai serta diselitkan dengan perumpamaan-perumpamaan Melayu yang telah jarang diberi perhatian.
Buku ini melihat kepimpinan daripada tiga perspektif utama iaitu pembentukan diri sebagai pemimpin (leading self), pemimpin memimpin orang lain (leading others) dan pemimpin memimpin organisasi (leading organization). Penulis merasakan bahawa untuk menjadi seorang pemimpin yang berwibawa, ciri-ciri kepimpinan yang unggul perlu ada dan dibentuk sebaik mungkin bagi menjadi pemimpin yang sentiasa dihormati.
Daripada perspektif diri, adalah penting seorang pemimpin berupaya melihat ke dalam diri dan menilai secara jujur kekuatan dan kelemahan yang ada. Segala kekuatan perlu dijadikan azimat untuk melangkah lebih jauh, manakala segala kelemahan pula dijadikan benteng untuk memperkukuhkan keupayaan diri. Dalam kehidupan, hanya kita sahaja yang tahu siapa diri kita. Justeru, kita harus berusaha sedaya upaya untuk menjadi yang terbaik kerana hidup tidak kerana doa, mati tidak kerana sumpah. Jadilah pemimpin yang mempunyai ihsan dalam diri dan bukan hanya bertindak mengikut nafsu.
Pemimpin tidak seharusnya membina daya kepimpinan diri semata-mata tanpa melihat orang yang berada dikelilingnya. Pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang berjaya membangunkan lebih ramai pemimpin. Ini adalah penting kerana kepimpinan kita tentu sahaja akan sampai ke titik nokhtah dan perlukan pengganti yang akan meneruskan legasi. Tanpa wujudnya pemimpin baharu, tentu sekali organisasi akan goyah dan akan rebah ke bumi tanpa dapat dibantu. Justeru, pemimpin perlu membetuk kumpulan pemimpin yang seia sekata dan mantap bak kata pepatah tertungkup sama termakan tanah, tertelentang sama terminum air. Pemimpin perlu bijak memotivasi, menugaskan kerja dan mewujudkan keharmonian dalam organisasi.
Perspektif ketiga yang dilihat dalam buku ini adalah bagaimana seorang pemimpin perlu mempunyai kebolehan untuk memimpin sebuah organisasi agar berjalan dalam landasan yang betul dan terarah. Pemimpin perlu bijak mencarta organisasi mengikut misi dan misi yang jelas. Dalam masa yang sama, pemimpin juga perlu melihat organisasi sebagai satu entiti yang menyeluruh termasuk mengilap bakat yang ada, membuat jajaran strategik, memperkukuhkan pasukan dan membangunkan persekitaran kerja yang kondusif.