Inovasi Sosial Konsep, Model dan Cadangan Pelaksanaan
Siri Risalah Kajian ini merupakan wahana penerbitan
kepada hasil kajian oleh Felo Penyelidik Kanan dan tenaga
akademik INTAN, mengenai pentadbiran dan pengurusan
awam. Dimulakan sejak tahun 2014 dengan siri pertama bertajuk
Pelaksanaan Outcome-Based Budgeting (OBB) di Majlis Agama
Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIPk), kini muncul siri
kedua berjudul Inovasi Sosial: Konsep, Model dan Cadangan
Pelaksanaan.
Dalam blueprint Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11),
peningkatan inovasi dan produktiviti menjadi asas kepada
pertumbuhan ekonomi, pengukuhan pendapatan per kapita nasional,
peningkatan pendapatan isi rumah dan akhirnya kesejahteraan
rakyat. Dengan itu, ekosistem inovasi akan diperkukuh manakala
aktiviti inovasi bakal dipergiatkan menerusi penggunaan kaedah
dan teknologi baharu atau yang ditambah baik.
Mengaplikasikan inovasi bagi mencari jalan penyelesaian terbaik
ke arah meningkatkan kesejahteraan masyarakat merupakan satu
bentuk inovasi sosial. Meskipun berbeza dengan inovasi dalam
bentuk lain seperti inovasi penyelidikan dan pembangunan (R&D)
atau inovasi produk, namun peranan inovasi sosial cukup besar
kepada rakyat. Impaknya menjadi sangat signifikan kerana dapat
membawa perubahan kepada peningkatan sosioekonomi dan taraf
kehidupan mereka.
Namun begitu, sebagai satu bidang yang secara relatifnya
baharu bertapak, inovasi sosial masih bersifat practice-led dan
lebih dianggap suatu inisiatif tanpa menyertakan teori, model dan
metodologi pelaksanaan yang mantap. Keadaan ini menyukarkan
pengurus dan pentadbir sektor awam untuk merencana, melaksana
dan menilai keberkesanan sesuatu inisiatif inovasi sosial. Justeru,
risalah kajian ini diharap dapat mengisi sedikit kelompangan tersebut
dengan memberi kefahaman dan panduan kepada pengurus sektor
awam mengenai konsep inovasi sosial dan pelaksanaannya.