Menelusuri Tujuh Prakarsa Utama Dasar Transformasi
Wawasan besar Dasar Transformasi Nasional telah diterjemahkan kepada prakarsa utama yang mencerminkan keazaman Kerajaan. Tujuh prakarsa tersebut telah didokumenkan dalam buku ini sebagai evolusi dasar negara.Perencanaan dan ikhtiar Kerajaan di bawah Dasar Transformasi Nasional ini merupakan blueprint strategik untuk memacu agenda sebuah negara maju berpendapatan tinggi yang rakyatnya berkehidupan sejahtera. Meskipun banyak usaha yang telah dilakukan, namun begitu informasi dan huraian bersifat komprehensif mengenai program-program berorientasi rakyat tersebut agak sulit untuk diperoleh bagi tujuan rujukan dan pembacaan segera. Informasi dan maklumat lanjut mengenai setiap prakarsa seperti Gagasan 1Malaysia, Perkhidmatan 1Malaysia, Strategi Lautan Biru Kebangsaan, Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, Transformasi Perkhidmatan Awam dan Inklusiviti Digital hanya boleh dicapai menerusi laman web atau penerbitan tertentu yang bersifat eceran, khusus dan terhad. Sehubungan itu buku bertajuk Menelusuri Tujuh Prakarsa Utama Dasar Transformasi ini ditampilkan sebagai bahan bacaan tentang pelaksanaan inisiatif-inisiatif transformasi ekonomi, pentadbiran, sosial dan digital di bawah Dasar Transformasi Nasional yang boleh dijadikan rujukan segera pelbagai pihak.