Budaya Ilmu Penjawat Awam: Benteng Utama Tamadun Negara
YAB Timbalan Perdana Menteri telah mengungkapkan akan kesignifikanan penguasaan ilmu oleh penjawat awam. Seseorang penjawat awam perlu mempunyai kombinasi kecerdasan intelektual, emosi dan spiritual (ESQ) untuk menjadi insan kamil atau insan yang sempurna. Menguasai ketiga-tiga elemen ini, bakal membentuk kebijaksanaan penjawat awam dalam menggerak dan merealisasikan perencanaan Kerajaan dengan lebih berkesan.
Perkongsian pengetahuan dan interaksi bersifat dinamik bersama-sama YAB Timbalan Perdana Menteri ini pastinya menyemarakkan keinginan penjawat awam untuk terus istiqamah dalam menguasai falsafah “unity of knowledge” (kesatuan ilmu dari pelbagai disiplin) yang semakin kritikal untuk mendepani cabaran persekitaran. Lebih jauh daripada itu, kehadiran dan interaksi YAB Timbalan Perdana Menteri bersama-sama penjawat awam ini pastinya membuka satu episod baharu hubungan pemimpin – pentadbir yang meletakkan kepentingan perdampingan dan kolaborasi di tempat teratas dalam senarai keutamaan bagi memacu kemajuan negara dan kesejahteraan masyarakat.
Menyedari akan kepentingan khazanah keilmuan dan bingkisan pengalaman yang disampaikan menerusi syarahan YAB Timbalan Perdana Menteri ini disebarluaskan untuk memberi manfaat kepada seberapa ramai penjawat awam, INTAN telah merakamkannya dalam bentuk penerbitan. Meskipun demikian, disedari bahawa pada segmen tertentu ada kalanya versi pengucapan dan versi pembukuan memperlihatkan sedikit perbezaan. Perkara ini tidak dapat dielakkan kerana dalam pengucapan sebenar, tokoh berkesempatan untuk meninggalkan atau menambahi sesuatu butiran yang disediakan dalam teks secara spontan.